Eszrafiq selesa pulang ke Johor

JOHOR BAHRU — Bekas pemain kebangsaan, Eszrafiq Azis akan kembali ke Johor untuk menggalas jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Majlis Kriket Johor (JCC) mulai 1 Mei 2024.

Juga pemegang rekod pungutan larian tertinggi dalam temasya kriket Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Eszrafiq telah mengemukakan notis berhenti sebagai jurulatih bawah 19 Malaysia.

Setiausaha JCC, Haikal-Harith Adam Prakash dengan bangga mengalu-alukan
‘kepulangan’ Eszrafiq, 38, untuk mengemudi serta mencorakkan program JCC yang diketuai presiden baharu, Dr. Faidz A. Rahman.


”Jawatankuasa baharu JCC yang dibentuk Februari lalu telah mengumumkan pembentukan Pelan Strategik Lima Tahun. Kehadiran nama besar seperti Eszrafiq merupakan suatu permulaan ke arah pelaksanaan program berkenaan,” kata Haikal-Harith.

Bekas pemain nasional dan kapten Johor yang disegani, Azmi Abdul Majid berharap impian untuk melahirkan ramai pemain berkemampuan tinggi dapat dihasilkan semula bersama pelan strategik yang dirancang.


Antara pemain Johor tahun 1980-an yang menjadi produk kebangsaan ialah Azmi Abdul Majid, Sham Jalil, Yazid Imran, Saart Jalil, Jupri Idris, Idris Abdul Rahman, Shahir Idris dan Lim Ju Jing.
 


ESZRAFIQ AZIS... amat diperlukan Johor untuk Pelan Strategik Lima Tahun.