Kriket Melayu perlu rangka pendekatan baharu

KUALA LUMPUR — Suatu pendekatan baharu mesti dirangka bagi menjamin hala tuju Persatuan Kriket Melayu Malaysia untuk lebih aktif sejak merehatkan kegiatan utamanya pada tahun 2017.

Persatuan itu yang terkenal melahirkan ramai pemain kriket kebangsaan menerusi Program Pembangunan Kriket Nasional telah menamatkan pembabitan tujuh tahun lepas dengan kini hanya tertumpu kepada penganjuran kejohanan terutamanya saingan kriket antara negeri bagi merebut Perisai Raja-Raja.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berpendapat agar ciri-ciri pendekatan baharu itu ditonjolkan dalam apa jua program termasuk pembangunan pemain atau pegawai dapat dilaksanakan berpandukan keadaan dan waktu terkini.

”Sesuatu perancangan buat masa ini perlu tertumpu juga kepada kesepakatan serta keseragaman program,” katanya ketika melawat Rumah Kriket Melayu di Kuala Lumpur, 4 April 2024.

Kriket Melayu menguasai pembangunan kriket dengan jayanya sejak tahun 1998 hinggalah menghentikan semua kegiatan itu pada Ogos 2017.

Ini termasuklah pembangunan di peringkat bawah 12, menengah dan di pusat prestasi tinggi. Ia juga membabitkan pendedahan pemain lelaki dan perempuan di luar negara di samping penempatan peserta beraksi dalam liga di Australia, Afrika Selatan, England, Wales dan Sri Lanka.

Apapun selepas tujuh tahun menyepi, ramai juga meminta Kriket Melayu kembali menampilkan program yang menyerlah itu bagi melahirkan barisan yang berwibawa.
 


RAJA ARSHAD (tengah) diberi taklimat sewaktu lawatannya ke Rumah Kriket Melayu. Turut sama ialah Timbalan Presiden Persatuan Pengadil dan Pencatat Kriket Malaysia, Shivanandha Chellappah (kiri).



TUMPUAN serius Raja Arshad sewaktu perbincangan mengenai hala tuju Kriket Melayu.



PERBINCANGAN dengan Setiausaha Kewangan Kriket Melayu di bilik mesyuarat utama.



RAJA ARSHAD tekun melihat gambar-gambar pembabitan Kriket Melayu dalam program pembangunannya.