Perak tertiarap dengan 72 larian

KUALA LUMPUR — Selangor meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan 72 larian ke atas Perak dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri di Victoria Oval, 9 Mac 2024.

Setelah memenangi perlawanan menentang Pahang dengan empat wiket dua bulan lepas, Selangor yang beraksi tanpa tiga pemain utama masih mampu bergaya walaupun tidak mengumpulkan angka tinggi.

Sebaik sahaja memenangi undian, Selangor bermula baik tetapi akhir-akhirnya hanya memperoleh 170 larian dalam 26.3 over; rugi 81 balingan.

”Amat kecewa dengan pemukul. Sepatutnya mereka bertahan sehingga 40 over,” kata ‘orang kuat’ Selangor Nazruddin Nasir.

Selepas waktu rehat tengah hari, Perak menguji barisan pemukul  tetapi tersentak dengan dua wiket diranapkan pada kedudukan 12 di papan catatan. Kedua-dua pembuka pukulan, Iliyas Jamil dan Amir Amsyar Zamzam dipulangkah ke astaka menerusi mati lari.

Daripada 68 untuk lima wiket; Perak dihentikan aksi di lapangan tengah hanya dengan 98 larian.

Selangor akan menghitung peluang lagi dalam perlawanan menentang Perlis pada 4  Mei manakala Perak bertemu Pahang, 20 April 2024 di STAR Oval, Ipoh.

Kejohanan merebut Perisai Raja-Raja dianjurkan sejak tahun 1951 dengan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sebagai penganjur.

KEPUTUSAN

Selangor kalahkan Perak dengan 72 larian
Selangor 170 (26.3 over)  Faizshal Niaz-Lyn 37; Naim Nazley 35; Syahir Syamael Shaari kekal 26. Syafiq Aiman Bazlan 6-42; Iqbal Azmi 2-44.
Perak 98 (23 over) Rahman Bahtiar 18; Solahuddin Mokhtar 15. Asyraf Azmi 6-19.

Pemain terbaik: Asyraf Azmi (SEL)
Pengadil: Mathan Kumar Muniandy (SEL) & Denish Sevakumaran (SEL)
Pencatat: Ammar Uzair Fakri (JOH)
Pengurus perlawanan: Muammar Isaruddin Mat Isa (KED)
 
 
SELANGOR… mantap untuk menangi perlawanan kedua.



BARISAN Perak kembali bersaing dalam perebutan Perisai Raja-Raja.

 

ASYRAF AZMI (kanan) menerima anugerah pemain terbaik perlawanan daripada pengadil Mathan Kumar Muniandy di Victoria Oval 9 Mac 2024. Turut sama ialah pengurus perlawanan, Muammar Isaruddin Mat Isa (kiri) dan pengadil Denish Sevakumaran.