Kekuatan Negeri Sembilan perlu digugat

KUALA LUMPUR — Negeri Sembilan yang menjuarai saingan lima kali berturut-turut dalam perhitungan kriket antara negeri masih dilihat sebagai pasukan perkasa dalam aksi musim 2024.

Bermula dengan menentang Perlis dalam perebutan Perisai Raja-Raja di Kelab Aman, Kuala Lumpur, 13 Januari 2024, skuad kental itu diramal mudah menguasai pertandingan hingga ke babak akhir, 7 September depan.

”Atas kertas, Negeri Sembilan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman termasuk daripada skuad nasional digambarkan terlalu gagah tetapi dengan kepintaran serta kesabaran dalam permainan, boleh meyakinkan lawan untuk mencuri peluang,” kata Naib Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tan Sri. Dr. Suleiman Mohamed.

Dalam senarai menentang Perlis, Negeri Sembilan menyenaraikan peserta hebat seperti Aminudin Ramly, Azwar Tajri, Zubair Asyrat Nor Azmi, Nik Azril Ariffin, Shafiq Shariff, dan Anwar A. Rahman.

”Mereka antara pemain bertaraf nasional yang pernah beraksi dalam liga luar negara untuk beberapa musim.

”Semua pemain ini dihantar Kriket Melayu dalam program penempatan antarabangsanya beberapa tahun lalu,” kata Dr. Suleiman yang juga seorang pemain kriket untuk pasukan peringkat usia Selangor tahun 1960-an.

Pemain-pemain berkenaan beraksi dalam liga Afrika Selatan, liga Australia Barat, liga bahagian satu dan liga perdana bawah 23 Sri Lanka dan liga Essex di London.

Perlis, sebuah pasukan aktif dalam liga ini membariskan beberapa pemain yang pernah mewakili skuad peringkat usia kebangsaan. Antaranya Firdaus Rusli, Ammar Rusli, Akmal Ziyad Zainuddin, Islah Muhaimin Zol dan Salsabila Ibrahim.

Pada 27 Januari, Selangor akan menjadi tuan rumah kepada Pahang di Victoria Oval.

Kejohanan dimulakan sejak tahun 1951 itu dianjurkan Kriket Melayu dengan perebutan sebuah perisai yang dihadiahkan oleh raja-raja Melayu.



PENYERAHAN semula Perisai Raja-Raja untuk dipertandingkan kepada Yang di-Pertuan Agong X, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman di Istana Negara pada tahun 1995.



DR. SULEIMAN… Naib Yang Dipertua Kriket Melayu