Kelantan enggan sertai saingan Perisai Raja-Raja

KUALA LUMPUR — Kejohanan kriket bagi merebut Perisai Raja-Raja musim 2024 tanpa naib juara 2023, Kelantan yang enggan menyertai atas alasan memberi penumpuan pasukan mudanya bersaing dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak Oktober tahun depan.

Pertandingan antara negeri ternama itu mula dipertandingkan secara tahunan sejak 1951 akan disertai tujuh pasukan termasuk Sabah yang hanya beraksi dalam pusingan kedua pada September.

Enam pasukan; juara bertahan Negeri Sembilan, Perlis, Perak, Selangor, Johor dan Pahang akan mula bersaing seawal 13 Januari 2024 sehinggalah babak akhir, 7 September.

‘’Amat mendukacitakan, Kelantan yang memiliki ramai pemain berkualiti tidak dapat mengambil bahagian. Kami faham mereka sedang mengumpulkan dana agar ia mencukupi bagi persediaan dan seterusnya ke Sarawak untuk bertanding,’’ kata Setiausaha Pertandingan Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Nazmir Sungip.

Pasukan Sukma negeri itu  tidak disokong sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri Kelantan kerana tidak mencapai sasaran dalam temasya terdahulu.

Beberapa gelanggang digunakan sepanjang kejohanan; antaranya Kelab Aman, Victoria Oval, STAR Oval di Ipoh, Kajang Oval, Mutiara Rini, Johor dan YSD-UKM Oval di Bangi.

Kriket Melayu sebagai penganjur mengekalkan penggunaan bola merah dalam perlawanan 40 over itu.

JADUAL:

13 Januari: Perlis lawan Negeri Sembilan (Kelab Aman)

27 Januari: Selangor lawan Pahang (Victoria Oval); Perak lawan Johor (STAR Oval)

23 Febuari: Pahang lawan Johor (Kajang Oval)

9 Mac: Selangor lawan Perak (Victoria Oval)

19 April: Johor lawan Negeri Sembilan (Mutiara Rini); Perak lawan Pahang (STAR Oval)

4 Mei: Selangor lawan Perlis (Victoria Oval)

19 Mei: Negeri Sembilan lawan Perak (YSD-UKM Oval)

8 Jun: Pahang lawan Perlis (Kajang Oval); Negeri Sembilan lawan Selangor (YSD_UKM Oval)

22 Jun: Perlis lawan Perak (Kelab Aman); Pahang lawan Negeri Sembilan (Kajang Oval)

6 Julai: Johor lawan Perlis (Mutiara Rini).

20 Julai: Johor lawan Selangor (Mutiara Rini)

(Pusingan kedua dari 2 hingga 7 September 2024)
 




NAZMIR SUNGIP… Setiausaha Pertandingan Kriket Melayu.