Victoria Institution tekad cemerlang semula dalam kriket

KUALA LUMPUR — Victoria Institution Kuala Lumpur yang cemerlang dalam kriket sejak tahun 2002 hingga 2017 akan kembali menguasai kegemilangan sukan itu apabila memulakan program pembangunan kriket menengah secara serius mulai tahun 2024.

Pengetuanya, A. Samad Othman berkata, misi pertama barisan kriket sekolah berkenaan mahu menguasai saingan bawah 18 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur selaku juara.

”VI melahirkan ramai pemain kriket kebangsaan berkualiti tinggi semasa berada dalam Projek Kriket Nasional kendalian Persatuan Kriket Melayu dalam 15 tahun sejak 2002.

”Kini kami mahu mengembalikan kecemerlangan itu,” katanya sewaktu sesi ujian pemilihan pemain bagi menyertai Program Pembangunan Kriket Menengah Victoria Institution, 3 Disember 2023.

Program ini yang diwujudkan atas inisiatif pengetua sekolah itu akan mengambil seramai 20 pemain baharu bagi sesi persekolahan 2024.

Lima puluh lima pemain menghadiri sesi berkenaan yang dikendalikan oleh bekas kapten skuad perempuan Malaysia, Arina A. Rahim bersama Fadzrin Kate-Lee, Amirul Zubair Zulkefli dan Mahathir Razali.

Antara pemain kebangsaan dilahirkan Victoria Institution ialah Faris Almas-Lee, Aminudin Ramly, Shahrulnizam Yusof, Pavandeep Singh Jagjit Singh, Zubair Asyraf Norazmi, Shafiq Shariff dan Sivanantha Gobal Krishnan.

Pemain yang telah membarisi skuad peringkat usia negara daripada sekolah itu antaranya ialah Azwar Tajri, Faizshal Niaz-Lyn, Fauzan Malik, Ahmad Norharif Hamidon, Rafi Zulkifli, Abilash Raaj Sugunan, Gerard Sanjay Rajaratnam, Chew Ee Soon, Kasman Kaderi, Ramdan Samsudin, Rasul Iqbal Ghazali, Kamarul Anuar Azhar, Hamzimifzal Puad, Noor Afif Saufee, Nik Nazran Anuay dan Danial Emir Eizzat Fzulkifli.

”Pencapaian Malaysia buat masa ini amatlah mendukacitakan. Berilah kami sekurang-kurang tiga tahun untuk menyerlahkan bintang-bintang daripada sekolah ini.”

A. Samad juga memastikan Victoria Institution bekerjasama dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan misi kecemerlangan ini.
 
 
ANTARA pemain sewaktu ujian pemilihan ke Victoria Institution di astaka Victoria Oval, 3 Disember 2023.



A. SAMAD OTHMAN … Pengetua Victoria Institution.